UJIAN sampel cecair hidung merupakan salah satu cara untuk mengesan jangkitan influenza.
TENGAH malam itu Noreen Azliza Norzlan, 33, tersedar daripada lena apabila dikejutkan anaknya yang mengadu tubuhnya berasa sejuk.
Ironinya, apabila disentuh, badan kanak-kanak berusia 11 tahun itu begitu panas dengan suhu mencecah 39 darjah Celsius. Dia juga berada dalam keadaan sedikit menggigil.
Bimbang dengan situasi tersebut, Noreen segera membawa anaknya ke klinik swasta berdekatan rumahnya di Rawang, Selangor. Apabila diperiksa doktor, anak sulung daripada tiga beradik itu terus dirujuk ke hospital.
“Perubahan anak saya begitu drastik. Suhunya terus naik sehingga 40 darjah Celsius selepas di bawa ke klinik. Walhal, pada sebelah siang dia sihat sahaja dan tidak menunjukkan sebarang tanda tidak normal.
“Pemeriksaan lanjut di hospital mengesahkan anak saya diserang virus influenza. Mendengar nama penyakit itu sahaja sudah membuatkan saya takut kerana tiada pengetahuan mengenainya. Ketika itu saya menyangka ia ada kaitan dengan haiwan seperti burung.
“Tetapi kami memang tiada haiwan peliharaan di rumah. Kawan-kawannya di sekolah juga tiada yang terkena penyakit sebegitu,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Pekerja swasta itu bercerita, empat hari anaknya dikuarantin di wad. Adik-adiknya turut tidak dibenar melawat abang mereka. Keadaan kesihatannya dipantau setiap masa sebelum disahkan sihat dan dibenarkan keluar hospital.
Kisah Noreen sedikit berbeza dengan seorang bayi berusia 22 bulan yang terpaksa ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama tujuh hari selepas disahkan menghidap influenza. Dia turut diberi bantuan oksigen dan perlu menjalani fisioterapi dada.
Vaksin
Bezanya, bayi tersebut hanya didiagnosis selepas dua hari ibunya merawat anaknya sendiri di rumah dengan memberinya Paracetamol dan antibiotik sebelum situasi kesihatannya kian memburuk.
Berkongsi kes tersebut, Pakar Runding Pediatrik dan Neonatalogi, Hospital Pakar KPJ Damansara, Datuk Dr. Musa Mohd. Nordin berkata, bayi berkenaan turut tidak mempunyai rekod pernah mendapat vaksin influenza.
Statistik menunjukkan bayi berusia di bawah enam bulan terdedah kepada dua kali ganda kebarangkalian untuk dimasukkan ke hospital atas sebab jangkitan influenza.
“Kanak-kanak dan wanita hamil turut mudah terdedah kepada influenza. Komplikasi yang mengancam mereka yang berada di kumpulan tersebut boleh mengancam nyawa.
“Vaksinasi boleh membantu mencegah atau mengehadkan kes kerana penyakit itu boleh tersebar daripada seorang kanak-kanak kepada ahli keluarga yang lain,” jelasnya.
Beliau berkata demikian pada sesi dialog media mengenai influenza dan pelancaran Kumpulan Kerja Influenza Malaysia anjuran Persatuan Penyakit Berjangkit dan Kemoterapi Malaysia di Hotel Sheraton Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Dalam hal ini, influenza sangat mudah dijangkiti kerana ia boleh tersebar daripada seorang individu kepada individu yang lain menerusi air liur disebabkan batuk, bersin ataupun bercakap.
Tempias virus dalam udara boleh menjangkiti orang yang menyedut udara ini lalu tersebar apabila seseorang menyentuh permukaan atau objek yang tercemar. Ia boleh berada di mana-mana sahaja sama ada di tempat awam, pejabat, pasar raya atau sekolah.
Lebih membimbangkan, kita boleh menyebarkan influenza sebelum kita sendiri menyedari telah dijangkiti kerana setiap manusia masing-masing mempunyai tahap imuniti yang berbeza.
Kematian
Sementara itu, Pakar Runding Geriatrik, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof. Dr. Tan Maw Pin berkata, risiko diserang strok dalam kalangan warga emas meningkat sebanyak dua atau tiga kali ganda dalam dua minggu pertama dijangkiti influenza.
Influenza yang sering disalah anggap sebagai selesema biasa kerana simptomnya yang serupa adalah penyakit berbahaya sehingga boleh menyebabkan kematian terutama kepada mereka yang tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi.
“Sistem imun kita semakin lemah seiring peningkatan usia. Bagi orang dewasa yang lebih tua mereka lebih berkemungkinan mengalami kerumitan lebih serius disebabkan penyakit tidak berjangkit sedia ada seperti masalah jantung yang boleh menjadi bertambah teruk.
“Selain itu, virus influenza sentiasa bermutasi dan berubah struktur. Justeru, vaksin baharu lazimnya dikeluarkan setiap tahun antara bulan September dan Oktober.
“Justeru, saya galakkan pesakit mendapatkan vaksin setiap tahun untuk mendapatkan perlindungan maksimum. Begitupun, tiada had tempoh pengambilan vaksin kerana ia boleh diambil sepanjang tahun pada bila-bila masa sahaja,” tuturnya.
Tambahnya, berdasarkan pemerhatian jangkitan influenza dilihat kerap berlaku pada musim sejuk atau di Malaysia yang beriklim Khatulistiwa ia cenderung menunjukkan peningkatan kes pada musim hujan.
Pada musim tersebut orang ramai lazimnya akan banyak menghabiskan masa di dalam bangunan atau rumah menyebabkan virus itu terkepung dalam persekitaran tertutup dan mudah merebak.
Justeru, amalan menjaga kebersihan seperti membasuh tangan dengan bersih, menutup mulut apabila bersin dan batuk serta tidak keluar rumah apabila merasa tidak sihat, sebenarnya boleh membantu mengurangkan penyebaran influenza.
Dalam pada itu, Pakar Runding Perubatan Pernafasan, PPUM Prof. Madya Dr. Pang Yong Kek menjelaskan, pesakit pernafasan kronik yang menghidap influenza turut dikhuatiri mengalami jangkitan saluran pernafasan sekunder seperti pneumonia dan penyakit pernafasan akut yang lain.
Bagi penghidap asma, influenza boleh menyebabkan keradangan pada saluran udara dan paru-paru sehingga mencetus serangan asa atau menjadikan gejala asma lebih buruk.
Katanya, selain itu, ramai pesakit Sekatan Pulmonari Kronik (COPD) yang lazimnya dihidap perokok lebih terdedah kepada jangkitan pernafasan. Walaupun cadangan pertama untuk mengatasi implikasi tersebut ialah berhenti merokok, langkah mendapatkan vaksin seharusnya turut menjadi keutamaan.
“Tiada pengecualian untuk seseorang yang mengambil vaksin. Melainkan mereka mempunyai alahan yang teruk terhadap telur memandangkan pembuatan vaksin melibatkan elemen bahan tersebut.
“Mereka yang mengalami demam juga tidak sepatutnya diberi vaksin. Selain itu, golongan seperti pesakit kanser dan ibu hamil juga termasuk dalam golongan selamat mendapat suntikan vaksin,” katanya.
Reproduced by : Kosmo! Online
Date : 30 August 2018