TITAH
DULI YANG MAHA MULIA
RAJA PERMAISURI PERAK DARUL RIDZUAN
TUANKU ZARA SALIM
UPACARA PERASMIAN
KONGRES KE EMPAT PULUH
PERSATUAN PEDIATRIK MALAYSIA
TARIKH: 25 ZULHIJJAH 1439 / 6 SEPTEMBER 2018 (KHAMIS)
MASA: 9.30 PAGI
TEMPAT: PUSAT KONVENSYEN IPOH.
‘MATLAMAT PEMBANGUNAN LESTARI; MENANGANI MASALAH MASYARAKAT DAN KANAK-KANAK TERPINGGIR’
Bismillahi Rahmani Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera
Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan rahmat dan izin daripada Nya jua, Beta berpeluang berangkat hadir di Upacara Perasmian, Kongres Keempat Puluh, Persatuan Pediatrik Malaysia.
- Ketika kita sedang menikmati keselesaan, tinggal di dalam rumah bersama keluarga serta orang-orang yang dikasihi, insaflah! terdapat ramai insan malang yang tidak berada dalam kedudukan yang dapat menikmati keperluan paling asas seperti makanan, tempat tinggal, khidmat kesihatan dan kemudahan pendidikan. Mereka, kalangan terpinggir, majoriti mereka terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.
- Kanak-kanak yang terpinggir merangkumi anak-anak berlatar belakangkan sosioekonomi yang miskin, anak-anak daripada kalangan keluarga pelarian, anak-anak yang tidak mempunyai status kewarganegaraan kepada mana-mana negara, anak-anak yang tidak memiliki tempat berteduh, hidup dan membesar di pinggir-pinggir jalan, serta anak-anak yang kurang upaya fizikal atau menghadapi cabaran intelek, atau mengidap penyakit kronik atau penyakit yang membawa maut.
- Walaupun pelbagai usaha telah, sedang dan terus dirintis untuk membasmi kemiskinan, namun tompok-tompok kemiskinan masih terdapat di dalam negara. Masyarakat orang asal serta masyarakat miskin bandar tergolong dalam kumpulan miskin tegar dan terpinggir yang paling tertekan. Nasib masyarakat orang asal menjadi lebih traumatik disebabkan kegiatan membalak yang berlebihan, lebih-lebih lagi pembalakan secara haram; begitu juga kesan daripada projek-projek pembangunan ladang dan prasarana yang telah menjejaskan kawasan asal tempat tinggal yang mereka warisi turun temurun. Kawasan yang secara tradisi, berperanan sebagai sumber utama untuk memenuhi keperluan hidup mereka, sedikit demi sedikit dicerobohi mengakibatkan semakin hari, hidup mereka semakin tertekan.
- Begitu juga anggota masyarakat yang berada dalam kategori pendapatan empat puluh peratus terbawah. Dibimbangkan, mereka akan terus menghadapi tekanan hidup, dan akan tergolong dalam kategori terpinggir, sekiranya rancangan membasmi kemiskinan yang lebih berfokus kepada kumpulan ini, tidak segera dilaksanakan, untuk membolehkan mereka berada atas paras kemiskinan. Mereka tergolong dalam kalangan yang tidak berupaya menikmati keperluan paling asas seorang insan, seperti makanan berkhasiat, bekalan air bersih, tempat tinggal yang benar-benar bersifat rumah, persekitaran kehidupan yang selesa, dilengkapi kemudahan pendidikan dan khidmat kesihatan.
- Dunia sedang menyaksikan krisis orang pelarian (refugee) secara besar-besaran. Jutaan manusia terpaksa berpindah randah, mencari perlindungan di tempat-tempat yang lebih selamat, berkhemah di sempadan-sempadan negara atau cuba menembusi sempadan negara-negara jiran. Ketika ini terdapat 150,000 orang pelarian dari Myanmar, Palestine, Syria, Yemen, Iran, Sri Lanka, Pakistan dan Afghanistan di negara ini. Dua puluh lima ribu (25,000) orang atau 17 peratus daripada jumlah tersebut berada di bawah usia 18 tahun. Hanya 30 peratus daripada jumlah yang berusia di bawah 18 tahun, berpeluang mengikuti pelajaran di pusat-pusat pembelajaran komuniti.
- Masalah yang dihadapi oleh masyarakat pelarian berada di hadapan mata kita. Masalah tersebut ialah masalah yang besar, malah dibimbangkan semakin membesar. Masalah tersebut tidak boleh dinafikan kewujudannya, tetapi perlu diterima hakikatnya, lalu difikirkan pendekatan secara holistik dan bersepadu antara negara, antara pertubuhan-pertubuhan antarabangsa, antara pelbagai agensi kerajaan serta antara badan-badan bukan kerajaan.
- Anak-anak daripada keluarga pelarian tidak harus menjadi mangsa dan tidak harus menanggung penderitaan disebabkan perbuatan yang bukan dilakukan oleh mereka. Anak-anak daripada keluarga pelarian tidak meminta agar mereka dilahirkan, dan tidak juga mempunyai pilihan untuk tidak dilahirkan daripada keluarga pelarian. Oleh itu adalah perlu agar mereka diberikan layanan secara adil lagi saksama, seperti layanan yang diperoleh oleh kanak-kanak lain, terutama untuk mendapat peluang pendidikan dan kemudahan rawatan kesihatan.
- Tidak memadai jika sesebuah negara mempamerkan obligasi sifat kemanusiaan sekadar memberikan kebenaran kepada orang-orang pelarian menumpang berteduh di bumi mereka. Sifat kemanusiaan itu hendaklah disusuli dengan satu tanggungjawab bersama yang turut disokong oleh masyarakat yang memperlihatkan semangat belas ihsan, membenarkan, lalu membantu mereka membina hidup baharu secara bermaruah lagi terhormat, seperti yang dipamerkan oleh kaum Ansar Madinah menerima penghijrahan kaum Muhajirin Mekah semasa peristiwa Hijrah, seribu empat ratus tiga puluh sembilan (1,439) tahun yang lalu.
- Masih banyak penambahbaikan yang perlu diterokai untuk menyediakan sokongan yang lebih bermakna kepada anak-anak yang terpinggir dengan mengkaji dan dijadikan rujukan perkhidmatan-perkhidmatan yang berupaya disediakan di negara-negara OECD,[1] negara-negara yang memiliki Indeks Pembangunan Insan yang tinggi.
- Sesebuah negara maju tidak diukur semata-mata daripada Pendapatan Kasar Negara tetapi turut dinilai daripada dasar-dasar yang berpaksikan insan dan kesejahteraan hidup insan; kekayaan negara diagih secara saksama, penyalahgunaan kuasa tidak berlaku, rasuah dibendung, penduduknya mempunyai makanan yang cukup lagi berkhasiat, serta mempunyai tempat tinggal yang selesa dan tenteram, penduduknya mudah mendapatkan perkhidmatan pendidikan dan kesihatan berkualiti; juga memiliki pekerjaan, berpeluang melibatkan diri dalam kerja-kerja kemasyarakatan serta mempunyai hak kebebasan bersuara untuk menegur dan memilih kerajaan.
- Membina ‘Masyarakat Penyayang’ telah diterima sebagai salah satu dari destinasi program sosial di negara ini. Destinasi tersebut wajib disuntik dengan pengisian yang bermakna. Masyarakat yang penyayang tidak akan mengizinkan adanya kanak-kanak, individu atau ahli masyarakat yang tertinggal dan terpinggir.
- Semoga ALLAH Subhanahu Wata’ala menyemaikan dalam diri dan jiwa kita yang telah dianugerahkan dengan pelbagai kelebihan, baik dalam bentuk harta benda, ilmu, pengetahuan dan kepakaran, agar menunjukkan sifat kesyukuran dengan bersedia menghulurkan bantuan kepada mereka yang berada dalam kesusahan dan memerlukan bantuan.
- Semoga Kongres berlangsung dengan sempurna, menghasilkan resolusi yang bermanfaat dan meninggalkan memori yang indah di kalangan para peserta. Semoga para peserta dilimpahkan rahmat dan petunjuk ILAHI.
- Dengan kalimah Bismillahi Rahmani Rahim, Beta dengan sukacitanya merasmikan Kongres Keempat Puluh, Persatuan Pediatrik Malaysia.
Wabillahi taufik walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
[1] Organization for Economic Cooperation and Development).
Download Here