Berikutan wabak demam campak, difteria, batuk kokol dan terbaru polio yang muncul selepas 27 tahun Malaysia bebas daripada penyakit itu, pakar pediatrik berharap kerajaan mengambil tindakan radikal dengan mewajibkan imunisasi.
Dr Musa Mohd Nordin berkata kanak-kanak tidak wajar menjadi mangsa penyakit berjangkit yang boleh dielak dengan mengambil suntikan vaksin lebih awal.
“Menteri sudah arah tubuhkan pasukan untuk buat kajian pelbagai aspek dan implikasi jika imunisasi diwajibkan.
“Mewajibkan buku rekod imunisasi ini antara langkah yang diambil untuk tingkatkan tahap imunisasi dan mendekati golongan yang tercicir.
“Dengan berlakunya kes-kes campak, batuk kokol, difteria dan kini polio saya berharap Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengambil langkah yang lebih radikal untuk mewajibkan imunisasi,” katanya kepada FMT ketika dihubungi hari ini.
Pada 2016, menteri kesihatan ketika itu, Dr S Subramaniam mengumumkan semua pelajar Tahun Satu pada 2020 wajib mengemukakan rekod imunisasi bagi memastikan semua keperluan suntikan vaksin mencukupi.
Pada tahun lalu, Malaysia berada di tangga ke-10 yang merekodkan kes demam campak tertinggi bermula September 2017 hingga Februari 2018 dan sebanyak 18 kes difteria dilaporkan dengan 5 kematian pada tahun lalu.
Tahun lalu juga, kes batuk kokol atau pertussis dilaporkan di Keningau, Sabah melibatkan 2 bukan warganegara, seorang bayi dan ibunya.
Dalam pada itu, Musa menyarankan kerajaan mempunyai langkah segera sekiranya wabak tercetus termasuk menjalankan kempen imunisasi dari pintu ke pintu di kawasan-kawasan berisiko termasuk kawasan berlakunya kes 3 tahun terakhir di kawasan yang sukar mendapat akses perkhidmatan kesihatan.
“Untuk sekolah, telah pun dilakukan oleh kementerian melalui program sekolah untuk mendapatkan imunisasi kanak-kanak sejak 2015 hingga kini dan kemungkinan ia akan diwajibkan pada 2020.
“Sementara itu, pemilik nurseri, pusat jagaan kanak-kanak dan tadika perlu diberitahu agar semak status vaksinasi setiap kanak-kanak yang dihantar ke tempat mereka.
“Jika semua cara ini gagal ubah trend penolakan imunisasi ini, saya rasa relevan kalau kita pertimbang wajibkan vaksinasi,” katanya.
Beliau berkata ibu bapa tidak wajar mengatakan keputusan memberi vaksin atau tidak kepada anak mereka sebagai hak individu.
Tegasnya, isu imunisasi bukan hanya melibatkan anda mereka tapi melibatkan anak-anak orang lain.
“Mereka yang tolak vaksin ini tidak sedar keputusan mereka melibatkan masyarakat secara keseluruhan sebab hanya perlu seorang pembawa atau dijangkiti untuk sebarkan wabak, jadi janganlah kata vaksin itu hak anda sama ada hendak terima atau tidak,” katanya.
Source: FMT, 24 December, 2019