Pelbagai pihak berkepentingan menyambut baik cadangan pakar kesihatan agar kerajaan menubuhkan kementerian khusus untuk kanak-kanak.
Bekas pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) James Nayagam berkata terdapat pelbagai isu mengenai kanak-kanak, termasuk buli siber, buli di sekolah, kehamilan dan pengguguran dalam kalangan remaja, gengsterisme dan kesihatan mental.
“Sekurang-kurangnya 3,000 kanak-kanak terjejas dengan isu-isu seperti ini setiap tahun.
“Dengan perkembangan teknologi yang pesat, jumlah itu berkemungkinan meningkat kerana kanak-kanak terdedah kepada ancaman yang hanya dihujung jari,” katanya kepada FMT, sambil menambah bahawa mekanisme yang berkesan diperlukan untuk menanganinya.
“Jadi, di manakah komitmen kerajaan untuk menangani isu-isu ini?”
Nayagam berkata sejak beberapa tahun lalu, jelas menunjukkan bahawa seminar, iklan dan jawatankuasa ditubuhkan dilihat gagal menangani isu kanak-kanak.
Beliau sedar akan kewujudan pesuruhjaya untuk kanak-kanak dalam Suhakam tetapi menyamakan badan itu seperti “singa tanpa taring”.
“Mereka tidak mampu membuat sebarang perubahan. Sebab itu kerajaan perlu mewujudkan dan memperkasakan sebuah kementerian untuk tujuan ini.”
Dalam kenyataan baru-baru ini, beberapa pakar kesihatan menggesa kerajaan menubuhkan kementerian kanak-kanak dalam Bajet 2023 yang akan dibentangkan bulan depan.
Sebanyak 69 pihak berkepentingan yang menandatangani kenyataan itu termasuk Penasihat Majlis Intervensi Awal Kanak-Kanak Kebangsaan Dr Amar-Singh HSS, penyelidik Childline Foundation Dr Amelia Alias, dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Chow Kit Ananti Rajasingam.
Ananti berkata sistem perlindungan kanak-kanak yang terkini berada di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang mempunyai bidang fokus yang luas.
Katanya, kesannya, isu kanak-kanak kadangkala tidak menjadi keutamaan.
“Ramai kanak-kanak di Malaysia masih gagal mendapat perlindungan dan sokongan yang mencukupi berbanding mereka di negara jiran yang jauh lebih maju dalam perlindungan kanak-kanak,” katanya kepada FMT.
Seruan untuk menubuhkan kementerian kanak-kanak bukanlah perkara baharu. Bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat Hannah Yeoh telah menggesa perkara itu tahun lepas.
Dalam kenyataan pada Ogos tahun lepas, beliau menegaskan terdapat 208 pelindung kanak-kanak di bawah KPWKM yang setiap daripada organisasi itu perlu menangani sehingga 80 kes dan mereka kesuntukan masa untuk membuat tindakan susulan.
Yeoh mengulangi komitmennya terhadap isu itu, dengan berkata sepenuh hati menyokong dan mengesahkan cadangan daripada pakar kesihatan.