Ibu bapa, guru perlu bantu pesakit kanak-kanak, remaja jalani hidup lebih yakin
Nor Hatina Shuib
Kurang pemahaman terhadap penyakit diabetes jenis 1 menyebabkan kebanyakan pesakit kanak-kanak dan remaja dikawal secara keterlaluan oleh segelintir ibu bapa dan guru.
Kesannya, pesakit kurang keyakinan diri kerana bukan sahaja dikawal makan, tetapi mereka juga tidak digalakkan menyertai aktiviti harian seperti dilakukan kanakkanak dan remaja lain.
Ibu bapa dan guru perlu menjadi individu penting dalam memban- tu kanak-kanak dan remaja hidup lebih yakin walaupun berdepan cabaran penyakit, termasuk memahami konsep penjagaan kesihatan serta pengambilan menu sihat.
Pakar Pediatrik Endokrinologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof Dr Muhammad Yazid Jalaludin, berkata memahami diabetes jenis 1, membolehkan pesakit membesar seperti kanak kanak lain.
“Kanak-kanak yang menghidap diabetes jenis 1, lazimnya menjadi seorang yang pendiam, mungkin disebabkan orang sekeliling tidak memahami mengapa mereka perlu disuntik beberapa kali sehari.
Dilayan terlalu baik
“Ada kes penghidap dilayan terlalu baik, seolah-olah tiada harapan meneruskan hidup,” katanya pada forum interaktif bertajuk ‘Apa yang anda tahu mengenai diabetes jenis 1 dalam kalangan kanak-kanak dan remaja’ di Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Sungai Buloh, di sini, baru-baru ini.
Yang turut hadir, Pakar Dietetik Universiti Perubatan Malaysia, Dr Lee Ching Li dan Pakar Psikologi Klinikal Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Dr Yang Wai Wai.
Dr Muhammad Yazid berkata, pihak sekolah pula perlu memberi peluang kanak-kanak dan remaja ini melakukan apa sahaja aktiviti seperti rakan sebaya untuk membina keyakinan diri, selain menimba pengalaman lebih luas.
“Ibu bapa digalak membawa anak berjumpa pakar pemakanan supaya mereka memahami jenis sajian dan jumlah sesuai diambil setiap hari. Ini bagi membolehkan penghidap menjalani kehidupan dengan baik,” katanya.
Diabetes jenis 1 berlaku apabila sistem imun tubuh menghapuskan sel yang mengeluarkan hormon insulin.
Tanpa insulin, sel tidak dapat menyerap gula yang mana ia diperlukan untuk menghasilkan tenaga.
Reproduced from : Berita Harian
Date: 20 March 2018