Kematian disebabkan jangkitan difteria (akut pernafasan) di Johor Bahru, boleh dihindari jika mangsa dipercayai dijangkiti bakteria Corynebacterium diphtheriae mendapat suntikan disarankan Kementerian Kesihatan menerusi Program Imunisasi Kebangsaan (NIP).
Laporan awal kementerian menyatakan, mangsa kanak-kanak perempuan berusia 14 bulan, tidak menerima sebarang suntikan.
Walaupun kita bersimpati dengan keluarga Allahyarham, tindakan ibu bapa enggan menghantar anak mendapatkan suntikan dilihat seolah-olah mendedahkan anak kepada jangkitan.
Ini kerana pada usia sedemikian sistem imun badan masih rendah dan terdedah dengan pelbagai penyakit bahaya, terutama penyakit yang boleh dicegah dengan vaksin.
Vaksin ini diberi secara percuma, justeru, tidak ada alasan mengapa ibu bapa enggan membenarkan pegawai kesihatan memberi anak mereka disuntik kecuali mereka terpengaruh dengan dak-yah golongan anti-vaksin.
Rasa sakit dan menangis sekejap semasa diberi suntikan tidak setara dengan kesengsaraan jika dijangkiti satu daripada penyakit yang boleh dicegah.
Konsep ‘suntikan untuk semua’ yang dimasukkan dalam NIP berupaya mencegah difteria dengan digabungkan dengan lima suntikan serangkai, iaitu DTaP-IPV-Hib bagi menghindari difteria, tetanus (kancing gigi), pertusis (batuk kokol), polio dan haemophilus influenzae type B.
Vaksin diberikan ketika bayi berusia dua, tiga dan lima bulan sebagai dos utama. Kemudian dos tambahan diberikan pada usia kanak-kanak 18 bulan.
Tingkat sistem imun badan
Suntikan vaksin ini penting kerana berupaya meningkatkan sistem imun badan selain mengawal mereka daripada jangkitan penyakit sehingga 95 peratus.
Kes terbaharu ini jelas membuktikan kegagalan ibu bapa melindungi anak daripada suntikan vaksin yang disarankan Kementerian Kesihatan dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), memberi kesan buruk terhadap kesihatan anak hingga meragut nyawa, sedangkan musibah itu boleh dicegah dengan vaksin.
Siasatan Kementerian Kesihatan mendapati, mangsa tidak pernah menerima sebarang imunisasi difteria kerana keluarga enggan berbuat demikian.
Kanak-kanak malang itu mengalami demam dan sakit tekak pada 4 Oktober. Mangsa kemudian dibawa ibunya mendapatkan rawatan awal di klinik swasta pada 11 Oktober.
Keesokan harinya, kanak-kanak tadi dibawa ke Unit Kecemasan hospital kerana sesak nafas dan hilang selera makan. Pesakit ditahan ke wad kanak-kanak.
Keadaan menjadi serius hingga terpaksa dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik pada 13 Oktober kerana keadaan semakin lemah dan memerlukan bantuan pernafasan.
Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia pada 15 Oktober akibat bakteria difteria yang serius hingga menyebabkan organ gagal berfungsi.
Ujian sampel calitan tekak menunjukkan kehadiran bakteria Corynebacterium diphtheriae.
Ironinya di sini, ibu bapa yang enggan berbuat demikian menerima vaksin yang sama, semasa mereka kecil dahulu tetapi enggan memberi perlindungan sama kepada anak mereka.
Ini menimbulkan kekeliruan kerana mereka gagal menunaikan hak anak yang masih kecil mendapat suntikan, sedangkan perlindungan itu perlu bagi mencegah penyakit difteria.
Keengganan ibu bapa berbuat demikian juga tidak pasti dan alasan yang diberi juga mengelirukan.
Berkongsi pengalaman merawat mangsa di Kampung Sungai Penchala, pinggir Kuala Lumpur pada 1986, sebagai pengamal perubatan, pemerhatian saya mendapati mangsa difteria berada dalam keadaan tenat.
Laporan pada masa itu juga mengesahkan mangsa datang daripada keluarga yang enggan mendapatkan vaksin seperti yang disarankan program NIP.
Keliru maklumat
Banyak berita dalam media sosial berkenaan maklumat anti-vaksin tetapi sebagai doktor kami terpaksa berhadapan situasi ini untuk merawat pesakit.
Ibu bapa yang keliru dengan maklumat mengenai suntikan vaksin perlu bijak dengan mendapatkan rujukan daripada pakar atau membaca dan menonton video daripada laman web www.ifl.my atau pertubuhan bertauliah lain.
Kami mahu membantu mereka mendapatkan maklumat yang tepat mengenainya. Jangan mudah terpengaruh dengan laman sesawang daripada golongan antivaksin kerana sistem imun badan setiap individu berbeza-beza.
Kos pengendalian rawatan untuk pesakit difteria tinggi. Setiap kes memerlukan tujuh hingga lapan prosedur rawatan anti-toksin dengan kos RM500 setiap satu vial, berbanding kos vaksin hanya RM34 satu dos, yang dapat melindungi seseorang daripada lima jenis penyakit.
Bagi memastikan ibu bapa menjalankan tanggungjawab menghantar anak mendapatkan vaksin di klinik berhampiran, kerajaan perlu menetapkan hanya anak yang menerima vaksin menerusi NIP saja dibenar mendaftar di sekolah kerajaan.
Syaratnya, ibu bapa mesti menunjukkan kad imunisasi mereka. Ini penting supaya murid sudah diberi semua vaksin diperlukan dan tidak menjadi sumber jangkitan kepada kanak-kanak lain.
Sebagai contoh di Perancis, kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap ibu bapa yang tidak menghantar anak mendapatkan vaksin.
Ada kes ibu bapa berhadapan hukuman penjara kerana enggan mematuhi arahan suntikan vaksin campak kepada anak mereka, yang telah menyebabkan penularan penyakit berkenaan.
Di Australia pula, jika anak tidak diberi vaksin, keluarga tidak layak menerima elaun seperti diberi kepada keluarga lain. Di beberapa tempat di Amerika Syarikat, individu yang tidak mendapat suntikan vaksin Tdap dan meningokokal berhadapan pelbagai masalah untuk meneruskan pengajian ke peringkat universiti.
Semua ketetapan ini sebahagian daripada strategi kerajaan meningkatkan kesedaran orang ramai untuk patuh arahan suntikan seperti ditetapkan pakar bagi mengurangkan penularan penyakit berjangkit yang boleh dicegah dengan vaksin.
Penulis ialah Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Immunise4life dan Ahli Jawatankuasa Persatuan Pedriatik Malaysia
Reproduced by : Bharian
Date: 24 Oct 2018